PENGENALAN KEPADA PENDIDIKAN
ALAM PENDIDIKAN …. nama yang diberikan kepada lamanweb ini, merupakan satu lamanweb yang akan menumpukan perhatian dan memberi fokus kepada dunia pendidikan, terutama sekali dalam aspek-aspek seperti ehwal pendidikan dan pembelajaran anak-anak kita menyediakan diri menghadapi kehidupan yang lebih canggih dan mencabar di masa-masa mendatang.
Lamanweb ini diharap dapat membantu ibubapa menghayati usaha dan peranan mereka kearah mewujudkan masyarakat pelajar yang diberi didikan secara menyeluruh, sesuai dengan keperluan zaman. Lamanweb ini akan membentangkan kaedah-kaedah pendidikan dan pembelajaran yang dirasakan akan mendatangkan faedah dan manfaat kepada kita semua. Sebenarnya lamanweb ini merupakan usaha menokok-tambah ikhtiar dan tindakan yang dirancang dan dilaksanakan dalam bidang pendidikan Negara.
SATU PANDANGAN
Pendidikan, pembelajaran dan usaha menimba ilmu pengetahuan, merupakan agenda terpenting dan mendapat tempat utama dalam kita menjalani hidup hari ini.
Sebagai ibubapa kita memang sedar betapa pentingnya anak-anak kita diberi didikan yang sempurna dan lengkap demi kesejahteraan masa depan mereka. Kita juga sedar bahawa apalah masa depan mereka tanpa ilmu pengetahuan, tambahan pula kita ketahui bahawa ilmu pengetahuan itu adalah perkakasan dan alat yang amat penting dalam dunia yang serba mencabar hari ini.
Oleh yang demikian, segala-galanya harus kita lakukan, untuk menentukan bahawa anak-anak kita dibekalkan secukupnya dengan ilmu pengetahuan dalam hidupnya.
Terdapat dua kaedah yang kita hadapi dalam perkara pendidikan ini, iaitu seperti berikut:
- Satu, ialah untuk menentukan anak-anak kita mencapai prestasi yang cemerlang dengan mendapat keputusan terbaik dalam tiap peperiksaan yang dilaluinya.
- Dua, ialah untuk menentukan bahawa anak-anak kita mempunyai minat, memahami dan dapat menghayati mata pelajaran yang dipelajarinya, supaya dapat digunapakai olehnya secara praktikal dalam kehidupan sehariannya kelak.
Kedua-dua kaedah ini sama pentingnya, dan relevan pula kepada perkembangan dan kemajuan hidup semasa. Kedua-duanya berganding antara satu sama lain. Dan peranan kita sebagai ibubapa pula ialah menentukan bahawa kedua-dua kaedah ini dapat direalisasikan matlamatnya.
Bukanlah menjadi tujuan lamanweb ALAM PENDIDIKAN ini untuk mengambil alih tugas guru, tutor atau ibubapa. Sebaliknya kami cuma mempunyai hasrat untuk menjemput kita semua melihat dan meninjau lebih mendalam ehwal pendidikan, dan kaedah-kaedah yang digunakan hingga kini dalam membawa ilmu pengetahuan kepada kita dan juga anak-anak kita. Kita akan lihat keberkesanan pendidikan dalam menyediakan masyarakat anak-anak kita menghadapi dunia yang lebih luas dan canggih di masa akan datang.
Harapan kami juga ialah lamanweb ini dapat memberi kita lebih kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan kepada manusia hari ini, khususnya kepada anak-anak kita. Dan seterusnya apakah peranan yang harus kita mainkan, sebagai ibubapa yang bertanggungjawab.
SEDIKIT UNTUK IBUBAPA
Kita yang mempunyai anak-anak bersekolah, memang sentiasa inginkan supaya prestasi dan pencapaian anak-anak kita itu dalam pelajaran, berada pada tahap yang tinggi dan membanggakan. Kita akan lakukan apa saja bagi menentukan supaya matlamat ini dicapai.
Pendek kata, kita memang komited dalam hal ini. Ia juga merupakan tanggungjawab yang maha penting kepada kita.
Dalam hal ini kita harus memikirkan satu rumusan atau formula yang boleh kita jadikan landasan. Mungkin kita telah melakukan pelbagai cubaan, tetapi hasilnya belum lagi membawa kepuasan kepada kita. Oleh itu kita perlu terus mencarinya.
Kita harus sedar bahawa prestasi dan pencapaian yang tinggi, tanpa kefahaman dan penghayatan terhadap mata pelajaran yang dipelajari, belum tentu dapat menghasilkan anak-anak kita yang maju dan membangun secara lengkapnya.
Memandang kepada hakikat ini, pendekatan kita perlu bercorak serampang dua mata, iaitu satu, untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian anak-anak kita, dan yang lagi satu, menentukan bahawa pembangunan mereka hendaklah sesuai dengan keperluan hidup semasa, dan di zaman mendatang, iaitu dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi secara praktiknya.
Cuba kita perhatikan senario dalam masyarakat kita hari ini. Tidak boleh dinafikan bahawa sebagai ibubapa, kita banyak menyerahkan soal pendidikan dan pelajaran anak-anak kita kepada masyarakat guru di sekolah sahaja. Kita selalu mempunyai anggapan bahawa tanggungjawab guru ialah untuk mendidik anak-anak kita. Rasanya suasana ini perlu kita ubah dan diperbetulkan.
Cuba kita perhatikan dalam satu hari …. Hanya lebih kurang 1/3 waktu anak-anak kita berada di sekolah. Selebihnya dia berada di luar sekolah. Atau lebih tepat dia berada di luar kawalan atau bimbingan guru. Maknanya, lebih banyak waktu anak-anak itu secara logiknya ialah dengan kita ibubapanya. Ini rasanya membawa erti bahawa dalam waktu inilah tanggungjawab kita amat diperlukan.
Dengan lain-lain perkataan, haruslah kita tentukan bahawa waktu anak-anak kita berada dengan kita diurus dengan baik dan penuth kualiti. Rasanya sebagai ibubapa yang bertanggungjawab terhadap pembesaran, pembangunan dan masa depan anak kita, kita akan sedar peranan yang harus kita mainkan.
Tambahan pula jika difikirkan, kita ibubapanya ialah manusia yang mula dihadapinya dalam hidup sehariannya, dan kita jugalah manusia yang didakapinya sebelum dia tidur.
BIDANG-BIDANG PENDIDIKAN
Sudah banyak kita perkatakan mengenai peranan ibubapa. Akan tetapi, lamanweb ini bukan sahaja hendak menumpukan perhatian kepada soal ini, bahkan banyak lagi yang akan kita lihat dan tinjau dalam perkara pendidikan ini.
Kami bercadang untuk menyentuh segala bidang dan aspek yang berkaitan dan relevan dengan pendidikan. Umpamanya kita cuba melihat sejarah pendidikan, yang bermula kira-kira antara 3,000 hingga 500 tahun sebelum Masehi di Mesir. Kita akan meninjau perkembangannya sejak itu, dan peranannya dalam pembangunan tamadun manusia.
Kita akan melihat falsafah pendidikan, psychologinya, ekonominya, bidang sosiologinya, dan banyak lagi.
Kita akan cuba mendalami aspek dan sistem pendidikan, seperti pendidikan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah swasta, pelajaran di institusi pengajian tinggi, pelajaran dewasa, pelajaran alternatif dan sebagainya. Kita akan juga memperkatakan perkara proses pendidikan seperti model pembelajaran, teknik pengajaran dan teknologi-teknologi pendidikan.
Pendek kata segala-segalanya mengenai pendidikan, pelajaran dan pembelajaran akan cuba kita ulas dan huraikan.
Tujuannya ialah untuk kita sedar betapa pentingnya kita memahami apakah itu pendidikan dan menghayatinya, supaya dapatlah ia menjadi penggerak dan pemangkin dalam usaha kita membangun dan memajukan anak-anak kita dengan lebih komited dan berkesan lagi.
Dari Pengarang:
Melalui lamanweb ALAM PENDIDIKAN ini akan kita bawakan huraian, bimbingan dan panduan untuk masyarakat pelajar, supaya dengannya dapatlah dipermudahkan lagi tugas pembelajaran mereka. Kita akan bawakan panduan pembelajaran untuk mata-mata pelajaran yang dipelajari, dan lain-lain yang berkaitan.