PERANAN ‘ALAM PENDIDIKAN’

Alam pendidikan ialah satu alam yang maha luas …  begitu jugalah halnya dengan konsep dan falsafahnya.    Dengan kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi,  alam ini sudah menjadi lebih luas … dan tidak bersempadan pula.

Pendidikan,  yang sudah berzaman lamanya dengan kehidupan kita,  telah membawa kita kepada keadaan hari ini.   Ia telah membantu kita mencari ilmu pengetahuan,  yang amat diperlukan dalam perjuangan kita menghapuskan kejahilan dan ‘illiteracy’.   Pendidikan ialah senjata yang amat berkesan kita gunakan.

Bijak pandai sudah pun menyatakan bahawa pendidikan adalah satu usaha yang berlangsung sepanjang hayat kita.   Maknanya,  tugas kita mencari dan menimba ilmu tidak kehabisan  dan  akan  berterusan.  Pendek kata,  selagi ada nyawa di badan,  maka kita harus berjuang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Dan  blog   ALAM PENDIDIKAN ini cuba membantu.

Seperti yang kita ketahui,   dalam alam pendidikan ini tiga kumpulan manusia terlibat … iaitu  para pelajar,   para guru   dan   para ibubapa. Tiap satu kumpulan ini mempunyai peranan dan  fungsinya masing-masing.   Para pelajar sudah sememangnyalah mempunyai fungsi dan tugas untuk belajar dan menimba ilmu pengetahuan di arena pendidikan iaitu sekolah.   Para guru pula mempunyai fungsi untuk mendidik dan mengajar murid-muridnya iaitu para pelajar tadi,   supaya mereka dapat memahami,  meminati  dan  menghayati mata pelajaran  yang diajar.   Dan  ibubapa pula merupakan kumpulan sokongan yang penting juga tugas dan fungsi mereka,  iaitu mendidik anak-anak mereka untuk menjadi insan yang berpelajaran, berilmu pengetahuan,  berguna  dan  komited kepada kehidupan di masa hadapan.

Tidak boleh dinafikan bahawa dalam  tiap tugas dan fungsi itu,  bimbingan dan panduan adalah diperlukan.   Pelajar memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan yang profesyenal dan berbentuk perihatin dari para guru.   Dalam hal ini para guru diperlukan mempunyai komitmen dan kepakaran mengajar yang serba lengkap.   Mereka juga perlu dibimbing untuk menentukan matlamat mengajar para pelajar itu tercapai.   Dan ibubapa ….  yang diperlukan dari mereka ialah kesedaran dan komitmen mereka bahawa usaha mendidik dan mengajar anak-anak mereka tidaklah semestinya diserahkan bulat-bulat kepada masyarakat guru.

Maka nyatalah,  tiap kumpulan yang terlibat dalam pendidikan,  memerlukan sokongan,  kerjasama,  bimbingan  dan  panduan,  untuk menentukan supaya fungsi dan tugas mereka dapat dilaksanakan dengan baiknya.    Dan inilah fungsi  ALAM PENDIDIKAN ini.

Melalui blog ini,  kita akan cuba memberi apa juga bantuan yang diperlukan … tambahan pula senario kehidupan hari ini sudah menjadi lebih kompleks dan canggih.   Kita akan dapatkan panduan,  bimbingan,  pandangan dan pendapat  dari mereka yang lebih arif dan pakar dalam bidang pendidikan.

Insya-Allah,  kita akan Berjaya membawa generasi muda kita hari ke satu kehidupan yang lebih lengkap dalam menghadapi zaman yang akan datang.

BICARA AKADEMIA – Pemimpin Sekolah

Di alam pendidikan tiga kumpulan manusia yang terlibat iaitu para pelajar,   para guru  dan  para ibubapa.   Tiap satu kumpulan ini mempunyai peranan dan fungsi masing-masing,  iaitu yang bertujuan pada akhirnya menjadikan pendidikan di sekolah itu suatu masa yang amat diminati.

Pengetuan,  sebagai pemimpin di sekolah beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat.   Oleh hal yang demikian insan ini perlu mendapat pendedahan yang secukupnya bukan sahaja dalam bidang pendidikan,  bahkan juga pentadbiran  dan tidak kurang pentingnya saikologi.

Berikut ialah satu artikel yang dipetik dari akhbar  BERITA HARIAN Online bertarikh 15 Disember 2009,  untuk tatapan kita bersama.

Bicara Akademia: Pemimpin sekolah

Ikuti pandangan Felo Penyelidik Kanan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya, Prof Datin Dr Rahimah Ahmad, mengenai peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Norliza Abdullah.

TUGAS pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah kini semakin mencabar kerana selain berdepan tututan hakiki memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar, pada masa sama mereka terpaksa memenuhi pelbagai tanggungjawab lain.    Antaranya mereka juga perlu menghadiri mesyuarat di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri, selain mengikuti kursus berkaitan.  Bebanan tugas itu menjadikan mereka ada kalanya tidak terkejar dan terpaksa mengagihkan tugas mengurus kepada guru penolong kanan.

Proses mengagihkan tugas kepada guru lain itu dapat mewujudkan semangat kerja dalam pasukan yang tinggi, selain memberi kepercayaan pegawai lain dalam menjayakan tugas mengurus.

Namun pada masa sama, sesibuk mana sekali pun mereka, pemimpin sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawal selia proses P&P kerana ia adalah aktiviti teras yang menjadi tunggak kecemerlangan pendidikan.    Proses P&P berkesan menjadi penanda aras kepada kecemerlangan sesebuah sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Sebagai pemimpin berpengalaman dan melaksanakan proses P&P ketika menjadi guru biasa, kini bidang tugas mereka hanya memantau pelaksanaannya dan memastikan ia berjalan lancar.

Sebagai pemimpin mereka perlu peka mengenai keperluan semasa dan kehendak pelajar. Pemantauan menyeluruh mengenal pasti prestasi adalah langkah awal pemimpin meningkatkan perkhidmatan sedia ada.

Suntikan semangat serta bimbingan berterusan kepada guru penting supaya mereka dapat terus mendidik dengan penuh dedikasi.     Guru juga memerlukan bimbingan dan sokongan serta suntikan motivasi daripada pemimpin supaya mereka dapat memberikan yang terbaik dan sedia berganding bahu dalam memenuhi aspirasi sekolah mencapai kecemerlangan.

Tidak dinafikan terlalu ramai guru besar dan pengetua terpaksa menghabiskan banyak masa di luar sekolah. Tugas mereka semakin mencabar terutama apabila berdepan dengan penanda aras kecemerlangan yang diukur berdasarkan pencapaian akademik menerusi sistem peperiksaan.

Tanpa disedari keghairahan mencapai kecemerlangan menyebabkan mereka terlepas pandang hingga menyebabkan proses P&P tidak seimbang.

Guru mengajar semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan membolehkan peperiksaan dilaksanakan secepat mungkin.     Pemimpin sekolah perlu melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang perlu diperbaiki.    Senario ini menyebabkan ketulenan proses P&P tidak wujud kerana pelajar mengikuti pengajian semata-mata untuk menghabiskan silibus tetapi gagal menghayati pengetahuan dipelajari.

Kita tidak mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik semata-mata kerana khuatir apa yang dipelajari gagal menjadikan mereka insan berilmu dan memiliki sahsiah yang tinggi.

Pengetahuan bersifat subjektif, hanya pelajar yang dapat menghayati ilmu menjadikan mereka benar-benar individu berfikir dan membentuk sahsiah serta personaliti unggul.

Sebelum ini banyak aduan terutama daripada ibu bapa mengenai sikap ghairah sekolah yang mengutamakan kecemerlangan akademik menyebabkan pelajarnya tertekan.     Tekanan yang diberikan pemimpin sekolah menyebabkan pelajar terutama di mereka yang cerdik terasa seolah-olah dipergunakan.

Tindakan itu apabila diperhalusi ada sebabnya dalam usaha mendisiplinkan pelajar supaya memberikan perhatian berterusan dalam memacu kecemerlangan dan mengharumkan nama sekolah.

Tanpa disedari proses pembelajaran itu lebih menyeluruh kerana selain memberi ilmu pengetahuan, pada hakikinya ia membentuk insan terus berfikir apa yang dipelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.

Kebanyakan pemimpin di sekolah adalah mereka berpengalaman mengajar dan seharusnya di peringkat pentadbiran, masing-masing sudah bersedia berdepan suasana sedemikian.

Pastikan pengalaman dikongsi bersama dalam menjayakan proses P&P yang lebih berkesan bagi melahirkan generasi lebih berdaya saing serta cemerlang akademik dan sempurna sahsiah.

PENGENALAN KEPADA PENDIDIKAN

ALAM PENDIDIKAN ….  nama yang diberikan kepada blog ini,   merupakan satu blog yang akan menumpukan perhatian dan memberi fokus kepada dunia pendidikan,   terutama sekali dalam aspek-aspek seperti ehwal pendidikan dan  pembelajaran anak-anak kita  menyediakan  diri menghadapi kehidupan yang lebih canggih dan mencabar di masa-masa mendatang.

Blog ini diharap dapat membantu ibubapa menghayati usaha dan peranan mereka kearah mewujudkan masyarakat pelajar yang diberi didikan secara menyeluruh,  sesuai dengan keperluan zaman.   Blog ini akan membentangkan kaedah-kaedah pendidikan dan pembelajaran yang dirasakan akan mendatangkan faedah dan manfaat kepada kita semua.   Sebenarnya blog ini merupakan usaha menokok-tambah ikhtiar dan tindakan yang dirancang dan dilaksanakan  dalam bidang pendidikan Negara.

SATU PANDANGAN

Pendidikan,   pembelajaran   dan   usaha menimba ilmu pengetahuan,   merupakan agenda terpenting  dan  mendapat tempat utama dalam kita menjalani hidup hari ini.

Sebagai ibubapa kita memang sedar betapa pentingnya anak-anak kita diberi didikan yang sempurna dan lengkap demi kesejahteraan masa depan mereka.   Kita juga sedar bahawa apalah masa depan mereka tanpa ilmu pengetahuan,    tambahan pula kita ketahui  bahawa ilmu pengetahuan itu adalah perkakasan  dan  alat yang amat penting dalam dunia yang serba mencabar hari ini.

Oleh yang demikian,   segala-galanya harus kita lakukan,   untuk menentukan bahawa anak-anak kita dibekalkan secukupnya dengan ilmu pengetahuan dalam hidupnya.

Terdapat dua kaedah yang kita hadapi dalam perkara pendidikan ini,  iaitu seperti berikut:

  • Satu,   ialah untuk menentukan anak-anak kita mencapai prestasi yang cemerlang dengan mendapat keputusan terbaik dalam tiap peperiksaan yang dilaluinya.
  • Dua,  ialah untuk menentukan bahawa anak-anak kita mempunyai minat,  memahami   dan  dapat menghayati mata pelajaran yang dipelajarinya,   supaya dapat digunapakai olehnya secara praktikal dalam kehidupan sehariannya kelak.

Kedua-dua kaedah ini sama pentingnya,   dan relevan pula kepada perkembangan dan kemajuan hidup semasa.   Kedua-duanya berganding antara satu sama lain.   Dan peranan kita sebagai ibubapa pula ialah menentukan bahawa kedua-dua kaedah ini dapat direalisasikan matlamatnya.

Bukanlah menjadi tujuan blog   ALAM PENDIDIKAN ini untuk mengambil alih tugas guru,  tutor  atau ibubapa.   Sebaliknya kami cuma mempunyai hasrat  untuk menjemput kita semua melihat dan meninjau lebih mendalam ehwal pendidikan,   dan kaedah-kaedah yang digunakan hingga kini dalam membawa ilmu pengetahuan kepada kita dan juga anak-anak kita.   Kita akan lihat keberkesanan pendidikan dalam menyediakan masyarakat anak-anak kita menghadapi dunia yang lebih luas dan canggih di masa akan datang.

Harapan kami juga ialah blog ini dapat memberi kita lebih kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan kepada manusia hari ini,  khususnya kepada anak-anak kita.   Dan seterusnya apakah peranan yang harus kita mainkan,  sebagai ibubapa yang bertanggungjawab.

SEDIKIT UNTUK IBUBAPA

Kita yang mempunyai anak-anak bersekolah,   memang sentiasa inginkan supaya prestasi dan pencapaian anak-anak kita itu dalam pelajaran,   berada pada tahap yang tinggi dan membanggakan.   Kita akan lakukan apa saja bagi menentukan supaya matlamat ini dicapai.

Pendek kata,  kita memang komited dalam hal ini.   Ia juga merupakan tanggungjawab yang maha penting kepada kita.

Dalam hal ini kita harus memikirkan satu rumusan atau formula  yang boleh kita jadikan landasan.   Mungkin kita telah melakukan pelbagai cubaan,   tetapi hasilnya belum lagi membawa kepuasan kepada kita.   Oleh itu kita perlu terus mencarinya.

Kita harus sedar bahawa prestasi dan pencapaian yang tinggi,  tanpa kefahaman dan penghayatan terhadap mata pelajaran yang dipelajari,   belum tentu dapat menghasilkan anak-anak kita yang maju dan membangun secara lengkapnya.

Memandang kepada hakikat ini,   pendekatan kita perlu bercorak serampang dua mata,   iaitu satu,   untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian anak-anak kita,     dan yang lagi satu, menentukan bahawa pembangunan mereka hendaklah sesuai dengan keperluan hidup semasa, dan di zaman mendatang,   iaitu dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi secara praktiknya.

Cuba kita perhatikan senario dalam masyarakat kita hari ini.  Tidak boleh dinafikan bahawa sebagai ibubapa,  kita banyak menyerahkan soal pendidikan dan pelajaran anak-anak kita kepada masyarakat guru di sekolah sahaja.   Kita selalu mempunyai anggapan bahawa tanggungjawab guru ialah untuk mendidik anak-anak kita.    Rasanya suasana ini perlu kita ubah dan diperbetulkan.

Cuba kita perhatikan  dalam satu hari  ….  Hanya lebih kurang 1/3 waktu anak-anak kita berada di sekolah.   Selebihnya dia berada di luar sekolah.   Atau lebih tepat dia berada di luar kawalan atau bimbingan guru.   Maknanya,  lebih banyak waktu anak-anak itu secara logiknya ialah dengan kita ibubapanya.   Ini rasanya membawa erti bahawa dalam waktu inilah tanggungjawab kita amat diperlukan.

Dengan lain-lain perkataan,   haruslah kita tentukan bahawa waktu anak-anak kita berada dengan kita diurus dengan baik dan penuth kualiti.   Rasanya sebagai ibubapa yang bertanggungjawab terhadap pembesaran,  pembangunan  dan  masa depan anak kita,   kita akan sedar peranan yang harus kita mainkan.

Tambahan pula jika difikirkan,  kita ibubapanya ialah manusia yang mula dihadapinya dalam hidup sehariannya,    dan kita jugalah manusia yang didakapinya sebelum dia tidur.

BIDANG-BIDANG PENDIDIKAN

Sudah banyak kita perkatakan mengenai peranan ibubapa.   Akan tetapi,  lamanweb ini bukan sahaja hendak menumpukan perhatian kepada soal ini,   bahkan banyak lagi yang akan kita lihat dan tinjau dalam perkara pendidikan ini.

Kami bercadang untuk menyentuh segala bidang dan aspek yang berkaitan dan relevan dengan pendidikan.   Umpamanya kita cuba melihat sejarah pendidikan,   yang bermula kira-kira antara 3,000 hingga 500 tahun sebelum Masehi di Mesir.   Kita akan meninjau perkembangannya sejak itu,   dan peranannya dalam pembangunan tamadun manusia.

Kita akan melihat falsafah pendidikan,  psychologinya,   ekonominya,   bidang  sosiologinya,  dan banyak lagi.

Kita akan cuba mendalami aspek dan sistem pendidikan,   seperti pendidikan sekolah rendah,  sekolah menengah,  sekolah swasta,   pelajaran di institusi pengajian tinggi,   pelajaran dewasa,  pelajaran alternatif  dan sebagainya.   Kita akan juga memperkatakan perkara proses pendidikan seperti model pembelajaran,  teknik pengajaran  dan  teknologi-teknologi pendidikan.

Pendek kata segala-segalanya mengenai pendidikan,  pelajaran dan pembelajaran  akan cuba kita ulas dan huraikan.

Tujuannya ialah untuk kita sedar betapa pentingnya kita memahami apakah itu pendidikan  dan menghayatinya,  supaya dapatlah ia menjadi penggerak dan pemangkin dalam usaha kita membangun dan memajukan anak-anak kita dengan lebih komited dan berkesan lagi.

Dari Pengarang:

Melalui blog ALAM PENDIDIKAN ini akan kita bawakan huraian,  bimbingan dan panduan untuk masyarakat pelajar,  supaya dengannya dapatlah dipermudahkan lagi tugas pembelajaran mereka.  Kita akan bawakan panduan pembelajaran untuk mata-mata pelajaran yang dipelajari,   dan lain-lain yang berkaitan.